5 CARA MUDAH AJAR ANAK MENYUSUN PERALATAN DI MEJA MAKAN

Kalau boleh kita mahu lakukan segala-galanya bagi pihak anak-anak. Kita mahu pastikan anak-anak merasa senang dan mudah dalam segala urusan seharian mereka. Untuk jangka masa panjang, tindakan kita ini tidak bagus kepada mereka.

Mendidik anak untuk bantu kita melakukan kerja di rumah adalah salah satu kemahiran hidup yang bagus untuk masa hadapan mereka. Jadi ajari mereka untuk sentiasa membantu sejak dari mereka kecil lagi.

Antara kemahiran hidup yang baik dan boleh diajar kepada anak-anak adalah menyusun peralatan di meja makan. Kerja kita akan menjadi lebih mudah dengan adanya pembantu cilik di rumah. Memandangkan waktu makan adalah aktiviti yang menyeronokan, apa kata kita gandakan lagi keseronokan itu dengan meminta mereka menyusun sendiri peralatan di meja makan.

Pastikan ibu menyediakan terlebih dahulu peralatan di meja makan yang biasa digunakan. Sebagai panduan, berikut adalah peralatan harian yang biasa digunakan:

  1. Pinggan makan
  2. Gelas
  3. Napkin/tisu
  4. Garfu
  5. Sudu

*Nota: Sebaiknya menggunakan peralatan meja makan plastik bagi mengelakkan berlakunya
perkara yang tidak diingini.

Perkenalkan terlebih dahulu setiap peralatan meja makan kepada anak-anak supaya mereka ingat dan biasa dengan peralatan tersebut. Kemudian boleh ceritakan kepada mereka tentang fungsi dan kegunaan setiap peralatan meja makan.

 

1. Pinggan Makan

Kedudukan pinggan makan adalah di bahagian tengah. Kedudukan pinggan makan merupakan penanda di mana kedudukan setiap orang patut duduk.

 

2. Gelas

Gelas berada di bahagian atas pinggan makan di sebelah kanan atau kedudukan pada pukul 1. Untuk memudahkan anak mengingati kedudukan gelas, minta anak merapatkan hujung jari telunjuk dengan hujung ibu jari sehingga membentuk bujur, manakala jari lain dikumpulkan dan ditegakkan. Minta anak perhatikan abjad apa yang terhasil.

Tangan kiri akan kelihatan seperti abjad “b”, “manakala tangan kanan kelihatan seperti abjad “d”. “d” di sini bermaksud drink atau minuman. Maka dengan keadah ini, anak pasti tidak lupa kedudukan gelas iaitu di sebelah kanan.

3. Napkin/Tisu

Susun napkin/tisu di tengah atau di tepi pinggan makan.

 

4. Garfu

Kedudukan garfu adalah di sebelah kiri pinggan makan dan di atas napkin/tisu.

Bagi memudahkan anak mengingati kedudukan garfu, minta anak ingat ejaan garfu dalam Bahasa Inggeris iaitu “F-O-R-K” dan ejaan ini mempunyai empat abjad. Memandang kedudukan garfu di sebelah kiri, jadi anak-anak perlu tahu ejaan kiri dalam Bahasa Inggeris iaitu “L-E-F-T” dan turut mempunyai empat abjad. Oleh sebab itu, kedudukan garfu adalah di sebelah kiri. Peringatan! Ejaan mesti dalam Bahasa Inggeris.

 

5. Sudu

Kedudukan sudu adalah di sebelah kanan pinggan makan.

Bagi memudahkan anak mengingati kedudukan sudu, minta anak ingat ejaan sudu dalam Bahasa Inggeris iaitu “S-P-O-O-N” dan ejaan ini mempunyai lima abjad. Memandang kedudukan sudu di sebelah kanan, jadi anak-anak perlu tahu ejaan kanan dalam Bahasa Inggeris iaitu “R-I-G-H-T” dan turut mempunyai lima abjad. Oleh sebab itu, kedudukan sudu adalah di sebelah kanan. Peringatan! Ejaan mesti dalam Bahasa Inggeris.

Mulakan aktiviti menyusun peralatan meja makan untuk mereka sendiri terlebih dahulu. Apabila sudah biasa dan mahir, bolehlah mereka membantu menyusun untuk ahli keluarga yang lain.

 

Selamat mencuba.

Add your thoughts

Your email address will not be published. Required fields are marked *