Belajar Memaafkan: Apa Perlu Buat Sebelum, Semasa, dan Selepas?

Menjalin hubungan yang baik antara satu sama lain memerlukan kemahiran sosial yang bagus. Anak-anak biasanya dilatih menjadi individu yang sentiasa bermurah hati dalam memberi dan menerima dengan penuh adab sopan.

Hubungan yang baik juga dipengaruhi oleh sejauh mana ketelusan anak-anak dalam urusan meminta maaf dan memaafkan orang lain. Sudah tentunya hal ini berkait rapat dengan konflik komunikasi dan kepentingan diri antara mereka dan pihak tertentu. Meminta maaf bermakna mereka mempunyai jiwa yang berani, manakala memaafkan pula mencerminkan jiwa mereka yang besar lagi ikhlas.

 

3 situasi berikut boleh dijadikan panduan untuk membentuk jiwa pemaaf dikalangan anak-anak;

Sebelum konflik.

Ibubapa berperanan sebagai model utama. Seperti biasa anak-anak pantas belajar melalui pemerhatian terhadap situasi disekitar mereka. Maka, biarpun belum berdepan dengan konflik, anak-anak telah didedahkan dengan cara mengurus perasaan dalam memaafkan kesalahan orang lain. Tidak kira sama ada ibubapa memaafkan kesilapan mereka atau melibatkan individu lain.

Secara tidak langsung, ini akan membentuk mindset mereka bahawa setiap kesalahan atau konflik yang timbul, akan disusuli dengan kata maaf dan memaafkan. Justeru, perbuatan memaafkan tidak lagi asing dalam kehidupan mereka.

 

Semasa konflik.

Setiap kali anak berdepan konflik dengan teman-teman atau adik-beradik, inilah peluang keemasan untuk ibubapa menunjukkan betapa hubungan baik atau persahabatan yang akrab boleh terjejas sekiranya tiada sifat memaafkan.

Ketika ini, ibubapa boleh bertanya kepada mereka tentang perasaan mereka ketika itu. Jelaskan kepada mereka rasa marah dan dendam hanya menyebabkan diri mereka sendiri tersiksa. Dan hanya dengan memaafkan akan dapat menyembuhkan hubungan yang retak.

Sekiranya ia tidak berlaku, maka hubungan yang terjalin mungkin akan terputus dan hanya mendatangkan rasa yang tidak selesa. Fitrah semulajadi  manusia akan merasa bahagia dalam menjalin silaturrahim yang baik. Maka, terapkan dalam diri mereka untuk berbesar hati memberi peluang kedua kepada pihak lain.

 

Selepas konflik.

Ibubapa sewajarnya terus memantau anak-anak setelah keadaan reda dan hubungan kembali berjalan seperti biasa. Waktu ini adalah baik jika ibubapa boleh bertanya kepada mereka, bagaimana perasaan mereka setelah memaafkan orang lain dalam konflik yang lalu.

Bantu mereka untuk memahami rasa lapang dan lega dalam jiwa mereka dengan memaafkan orang lain.

Dengan proses ini, semestinya anak-anak akan lebih jelas berkenaan konsep memaafkan secara total. Tanpa perlu mengenang kembali kesalahan lalu yang mungkin mengeruhkan hubungan sedia ada. Selain itu, memaafkan diri sendiri juga merupakan sesuatu yang tidak boleh diambil mudah. Adalah penting untuk belajar memaafkan diri sendiri atas kesilapan yang pernah dilakukan. Masa yang berlalu tidak sesekali dapat diputarkan kembali, yang penting sentiasa perbaiki diri di masa akan datang.

Add your thoughts

Your email address will not be published. Required fields are marked *