Segalanya Bermula Dengan Diri

Pernah lihat kenderaan di hadapan kita membuang sampah melalui tingkap semasa kita memandu? Atau di tempat parkir kereta yang kosong ada sampah elok sahaja terletak di dalam kotak parkir? Biasa bukan?

Lebih menyedihkan lagi bila kita asyik bercerita tentang menuju ke arah negara maju dan moden tetapi tahap pemikiran kita masih di tahap negara ketiga. Kita masih pentingkan diri sendiri, “alah, aku seorang sahaja yang buang, pastilah tiada kesan” atau “ini bukan kerja aku, nanti kalau aku buat mereka tiada kerja dan makan gaji buta”. Pemikiran begini menunjukkan kita ini tidak ada disiplin yang tinggi dan tidak bertamadun kerana masih mengamalkan tabiat yang tidak baik.

Ibu ayah,

Bagaimana kita mahu didik anak kita jadi disiplin bilamana sekecil-kecil sampah itupun kita tidak mampu uruskan? Usah cerita tentang bertamadun kalau kita sendiri buang sampah melalui tingkap. Jangan marah anak kalau mereka masih mempunyai tabiat yang tidak baik kerana kita juga masih amalkan tabiat tidak baik tersebut.

Ibu ayah,

Hentikan segala yang tidak baik itu mulai sekarang. Segala perbuatan dan sikap kita ini ada yang memerhati, mencontohi dan akan mengikuti. Bayangkan kalau ibu ayah masih amalkan perangai yang tidak baik ini, sampai bila-bilalah masalah ini tidak akan selesai.

Kalau mahu lahirkan anak yang berdisiplin tinggi, bertamadun dan mempunyai tabiat yang baik, ianya harus bermula dengan diri ibu ayah dahulu. Jadilah ibu ayah yang pembersih dahulu, baru anak-anak jadi pembersih. Jangan kerana mahu kereta kita bersih kita buang sampah ke luar tingkap.

Sikap tidak baik ini juga boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan lebih parah lagi boleh menyebabkan kenderaan di belakang kemalangan hanya kerana mahu mengelakkan sampah kita. Adalah lebih baik sampah dalam kenderaan dikumpulkan setempat dan dibuang di tempat yang sesuai. Tunjukkan kepada anak kita cara terbaik untuk menguruskan sampah bila berada dalam kenderaan.

Add your thoughts

Your email address will not be published. Required fields are marked *